Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts

Monday, August 31, 2015

Entri 16- Kenapa Saya Ingin Berjaya?

Teks:Nur Sa'adah Zahari

Pengalaman menyertai Seminar Magnet Kekayaan dan Kejayaan Dr Azizan Osman banyak memberi manfaat kepada diriku. Aku berasa amat bertuah sekali kerana terbuka hati untuk turut serta dalam program beliau. Banyak tips yang diperolehi daripadanya untuk mencapai kejayaan. Jadi saya ingin kongsikan sedikit sebanyak ilmu yang diperolehi bersama anda semua.

Tips yang pertama ialah MESTI iaitu:
M- matlamat yang jelas
E- emosi
S- strategi
T- tindakan
I- impian

#Kita mestilah fokus apa yang kita kehendaki bukan apa yang kita tidak mahu.

Selain itu, terdapat pelbagai halangan yang menyebabkan seseorang itu tidak boleh berjaya. Kita MESTI menghapuskan kesemua halangan ini untuk mengecapi kejayaan. Antaranya ialah:
1. Ego (sombong)
2. Ragu-ragu
3. Takut
4. Rasa tidak layak
5. Rasa tidak yakin
6. Bertangguh
7. Suka beri alasan
8. Mudah terpengaruh
9. Malas
10. Tidak ada komitmen (kesungguhan)

#Setiap perkara yang kita buat juga MESTI ada keyakinan. Kita mesti yakin dengan setiap ilmu yang diperolehi, yakin dengan melihat, yakin dengan benar dan yakin dengan sempurna.

Akhir sekali, saya ingin kongsikan tips untuk mencapai kejayaan.
1. Setiap hari fokus matlamat anda...
#Tulis 10 matlamat yang hendak dicapai dalam tempoh terdekat
#Baca matlamat setiap hari. Mulakan dengan ayat...Saya TELAH mencapai....
2. Komited dengan matlamat (tindakan)
3. Tukar kawan yang boleh mendorong kita berjaya
4. Tapis pemikiran
5. Bakar keinginan anda (semangat)
6. Sentiasa belajar
7. Tingkatkan tenaga anda
8. Is now or never?
9. Jangan hirau orang kutuk
10. Hadapi cabaran dengan strategi yang betul


#Saya berharap ilmu yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua untuk diamalkan bersama bagi memperolehi kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Marilah kita bersama-sama maju dalam perniagaan.

Monday, August 24, 2015

Entri 14- Aku Anak Tukang Jahit

Teks: Nur Sa'adah Zahari
Foto: Nur Sa'adah Zahari

Sejak dari bangku sekolah lagi aku sering membantu ibuku menjahit baju. Terutamanya apabila tiba musim perayaan. Pengalaman menjahit banyak memberi manfaat kepada diriku. Aku dapat menjana pendapatan sendiri dan dapat mempelajari ilmu tentang jahitan dari ibuku.

Setiap kali tiba musim perayaan aku akan membantu ibuku menjahit sembat di bawah baju dan hujung tangan. Aku juga belajar cara-cara menjahit mata lalat di leher baju. Dari situ aku menjana pendapatanku dan dapat membeli barang yang diingini.

Sehinggalah sekarang, walaupun aku belajar jauh, apabila pulang ke rumah sudah menjadi kebiasaan untuk aku membantu ibuku dan mengambil upah menjahit. Bagi diriku tidak rugi untuk kita mempelajari pelbagai ilmu. Selain membantu ibuku menjahit aku juga pernah cuba membuat perniagaan secara online. Aku mempromosi baju rekaan ibuku di media sosial. Alhamdulillah, rezeki yang tidak disangka, perniagaan secara online ini agak mendapat sambutan terutamanya di kalangan rakan-rakanku. Begitu juga dengan rakan media yang lain.

Baju yang dijual secara online

Pengalaman ketika menjalani latihan industri di pusat pengajian turut memberi manfaat kepada diriku. Aku berjaya mempromosi hasil kerja ibuku kepada pensyarah. Aku memdapat tempahan baju daripada beberapa orang pensyarah dan maklum balas yang positif. Mereka amat berpuas hati dengan hasil kerja ibuku. Aku berasa amat gembira sekali. Harapanku pada suatu hari nanti aku dapat memenuhi impian ibuku untuk membuka sebuah butik bagi memajukan lagi perniagaan ini. InsyaAllah. Amin.


Monday, August 17, 2015

Entri 7- Si Merah Jambu

Teks: Nur Sa’adah Zahari
Foto: Nur Sa’adah Zahari

Inspirasi daripada buku Allah Tempat Meminta- Impian sejuta Jiwa

“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan, maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu.” ( surah Ali-Imran : 160 )

Alhamdulillah hari ini aku masih diberi peluang untuk hidup dimuka bumi ini melihat keindahan langit, gunung-ganang dan merasai setiap nikmat kurniaan Allah. Di pagi yang sejuk ini ingin ku kongsikan kisah hidupku. Semakin hari aku semakin tenang menghadapi setiap ujian Allah. Satu perkara yang aku belajar, rezeki itu sudah ada dan tidak perlu kita kejar. Apa yang penting kita mesti melaksanakan hak Allah itu dahulu dan berdoa supaya segalanya dipermudahkan. Subhanallah!

Terkenang akan kehidupaan harianku. Hari-hari mendatang setiap hari aku tidak pernah berhenti berdoa supaya kehidupan aku bertambah baik dan impianku untuk memiliki sebuah kereta tercapai. Tetapi berlaku sebaliknya. Aku seperti diberi ujian untuk dinilai sama ada aku seorang yang sabar atau tidak. Hatiku kuat atau tidak. Setiap malam, aku bangun bertahajjud dan solat hajat. Aku menangis dan merintih pada yang Maha Esa. Minta agar diberi petunjuk dan hidayah sebenar. Dalam masa yang sama masalah kewangan makin mengecewakan. Tetapi keyakinanku terhadap Allah, kuasa Allah makin tinggi.

Hanya yang ada hanyalah berdoa kepadaNya. “Ya Allah, Kau yang Maha Mengasihani dan memberi rezeki. Moga ada rezeki tersirat dan tersurat yang tak terjangkau dek fikiran hambaMu in, Ya Allah!”. Amin Ya Rabbal’alamin. Alhamdulillah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. Hampir setahun aku melaksanakan hak Allah, akhirnya aku dapat memiliki si Merah Jambu. Masya-Allah, inilah kemenangan yang besar. Untuk menikmati janji itu, Allah cuma mahu kita beriman kepadaNya dan RasulNya.



Berinspirasikan buku yang berjudul “Allah Tempat Meminta” – Impian sejuta jiwa yang merangkumi 40 kisah banyak memberi dorongan untuk aku terus berazam. Azam untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tuntutan Allah.

**untuk dapatkan Buku ATM, boleh buat belian melalui saya Nur Sa'adah 01129693087

Sunday, August 16, 2015

Entri 5- Pasti Mati

Teks: Nur Sa’adah Zahari
Foto: Carian Google

Kedengaran azan subuh mulai berkumandang, menyeru seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w supaya mengerjakan solat. Aku terjaga dari tidur dan mengeliat untuk merenggangkan otot-otot lalu bingkas bangun menuju bilik mandi.

Setelah usai mengerjakan kewajipan kepada yang Maha Esa aku duduk termenung di tikar sejadah. Tiba-tiba kedengaran telefon berbunyi mengejutkan aku dari lamunan. Panggilan tersebut disambut oleh kakakku. Rupa-rupanya dari ibuku yang berada di rumah bapa saudaraku kerana menjaga tok yang sedang tenat. Kami diberitahu keadaan tok yang agak kritikal dan mungkin akan pergi menyahut panggilan ilahi pada bila-bila masa sahaja.

Sayupnya hati ketika itu, aku hanya mampu berdoa agar dipermudahkan segala urusannya. Seandainya, tok ditakdirkan pergi biarlah beliau pergi dengan tenang. Pagi itu juga kami bergegas pergi ke rumah bapa saudaraku untuk melihat keadaan tok. Kelihatan semua keluarga terdekat datang mengelilingi tubuh kecil itu. Ayat-ayat suci al-quran dibaca. Tiba-tiba keadaan menjadi senyap hanya kalimah Lailahaillaallah kedengaran berbisik ditelinganya. Nyawa tok perlahan-lahan ditarik oleh malaikat Izrail. Pada 13 Ogos 2015 tepat jam 8.20 pagi, tok menghembus nafas terakhirnya dengan tenang. Ya Allah begitu tenang pemergiannya. Air mata mulai menitis mengiringi pemergiannya, namun kami tetap redha atas ketentuan ilahi dan berdoa semoga roh arwah ditempat di kalangan orang-orang yang soleh, serta ditempatkan di syurga. Sesungguhnya Allah lebih menyayanginya. Setiap yang hidup pasti akan mati.


Segala urusan pengebumian tok turut berjalan dengan mudah. Jam 2.30 petang, beliau telah selamat dikebumikan. Mendengarkan talkin dibaca 3 kali menyedarkan diriku, banyak lagi amalan yang perlu dilakukan sebagai persediaan dalam mengharungi liku-liku hidup didunia dan diakhirat. Al-Fatihah buat arwah tok, Zainab anak kepada Bedah. Aamiin. Semoga beliau tenang bersemadi disana.


Friday, August 14, 2015

Entri 4- Bagaimana usaha kita untuk mengendalikan takdir agar boleh bermanfaat terhadap kejayaan dunia perniagaan dan pekerjaan?

Teks: Nur Sa'adah Zahari

Solat Hajat mengajar kita untuk bersikap optimis terhadap hidup, tidak putus harapan dan mudah menyerah, memberi tumpuan sepenuhnya, fokus, jujur serta bertawakal. Disebabkan itu, usaha kita berhasil, kita tidak akan sombong kerana kita telah yakin bahawa Allah s.w.t. yang berada di sebalik kejayaan itu.  Antara usaha yang dapat kita lakukan untuk mengendalikan takdir supaya bermanfaat:

1. Kita harus mengubah paradigma ke arah lebih baik dan membina. Tidak akan ada perubahan dalam kehidupan jika kita tidak menggunakan daya usaha yang diberikan oleh Allah s.w.t.

2. Kita harus membiasakan diri untuk melakukan tindakan-tindakan progresif dalam hidup. Oleh itu, kita harus bekerja keras, bekerja cerdas, belajar serta pantang menyerah agar kebiasaan dapat mengubah hidup menjadi lebih baik.

3. Kita harus mengaplikasikan pengetahuan dalam perbuatan. Pola pemikiran yang bagus, positif, maju dan mahu berusaha akan menjadi sia-sia jika tidak sertai kemahuan.

4. Kita harus sedia mencapai kejayaan. Apa yang diperlukan ialah keberanian dalam menhadapi risiko, tegas, tekun dan pantang menyerah agar impian dapat dicapai.

Wednesday, August 12, 2015

Entri 3- Cara Menjahit Rumah Butang

Teks: Nur Sa'adah Zahari
Foto: Nur Sa'adah Zahari



Cara-caranya :

1. Sediakan benang, gunting dan jarum. Masukkan benang ke dalam jarum dan matikan di hujung benang. Benang hendaklah dilipat dua, kemudian dimasukkan ke dalam jarum supaya menjadi empat benang.

2. Cucuk jarum di bucu leher baju kurung untuk masukkan benang.

3 & 4. Kemudian sekali lagi, cucuk jarum mengikut saiz butang disebelah bawah leher baju.

5. Lingkungan lubang akan terhasil.

6. Lilitkan benang ke kiri dan masukkan jarum ke dalam lubang tadi, kemudian tarik benang tersebut.

7. Lilitkan benang ke kanan pula dan masukkan jarum ke dalam lubang, kemudian tarik tersebut.

8 & 9. Ulangi cara 6 dan 7 sehingga siap.

10. Akhirnya, rumah butang terhasil. Selamat mencuba.


#Semoga ilmu yang dikongsi bermanfaat kepada semua.