Thursday, October 1, 2015

Entri18- Semangat Hari Ini

Teks: Nur Sa'adah Zahari

Selamat pagi,
Alhamdulillah pagi ini aku masih diberi peluang untuk menikmati keindahan alam ini. Setelah usai solat subuh, tiba-tiba perutku berbunyi meminta supaya diisi makanan. Aku bingkas bangun lalu ke dapur untuk melihat apa yang boleh dimasak. Terlintas di fikiranku, keenakan nasi goreng ibuku di rumah. Lalu aku segera masak nasi untuk membuat nasi goreng. Ala masakan orang bujang, nasi gorengnya pun agak bujang. Bertungkus-lumus aku di dapur akhirnya, siap juga nasi goreng dan dihidang bersama air teh.

Setelah selesai makan, aku bersiap-siap untuk pergi kerja. Semoga hari ini menjadi hari yang lebih bersemangat dan seterusnya. Hidupkan mesti diteruskan. InsyaAllah rezeki Allah ada dimana-mana asalkan jangan malas berusaha untuk mencarinya. Dan sekarang sempat juga aku menulis blog ini sebelum memulakan pekerjaan. Selamat bekerja semua, senyum selalu.

Tuesday, September 15, 2015

Entri 17- Pengalaman Baru

Teks: Nur Sa'adah Zahari
Foto: Nur Sa'adah Zahari

Assalamualaikum..sudah lama rasanya aku tidak menulis entri di blog. Ketandusan idea membuatkan aku tidak tahu apa yang hendak dikongsikan. Hari berganti hari aku menjalani rutin harian seperti biasa di rumah. Alhamdulillah Ya Syakur, Amin Ya Mujib. Setelah lama berada di rumah akhirnya aku mendapat pekerjaan di tempat aku belajar dahulu. Aku berasa amat gembira sekali kerana diterima bekerja. Walaupun gaji tidak seberapa tapi bagiku mencari pengalaman baru amatlah penting.

Hari Isnin, 14 September 2015, bermulanya rutin baru dalam hidupku. Aku akan pergi kerja dan pulang dari tempat kerja. Suasana di tempat aku bekerja amatlah selesa. Rakan sekerja juga baik dengan ku. Aku amat bersyukur dan bertuah kerana terpilih untuk bekerja di sini. Selain dapat belajar, aku juga akan mendapat pengalaman baru.

Setakat ini dahulu yang ingin aku kongsikan. 


Monday, August 31, 2015

Entri 16- Kenapa Saya Ingin Berjaya?

Teks:Nur Sa'adah Zahari

Pengalaman menyertai Seminar Magnet Kekayaan dan Kejayaan Dr Azizan Osman banyak memberi manfaat kepada diriku. Aku berasa amat bertuah sekali kerana terbuka hati untuk turut serta dalam program beliau. Banyak tips yang diperolehi daripadanya untuk mencapai kejayaan. Jadi saya ingin kongsikan sedikit sebanyak ilmu yang diperolehi bersama anda semua.

Tips yang pertama ialah MESTI iaitu:
M- matlamat yang jelas
E- emosi
S- strategi
T- tindakan
I- impian

#Kita mestilah fokus apa yang kita kehendaki bukan apa yang kita tidak mahu.

Selain itu, terdapat pelbagai halangan yang menyebabkan seseorang itu tidak boleh berjaya. Kita MESTI menghapuskan kesemua halangan ini untuk mengecapi kejayaan. Antaranya ialah:
1. Ego (sombong)
2. Ragu-ragu
3. Takut
4. Rasa tidak layak
5. Rasa tidak yakin
6. Bertangguh
7. Suka beri alasan
8. Mudah terpengaruh
9. Malas
10. Tidak ada komitmen (kesungguhan)

#Setiap perkara yang kita buat juga MESTI ada keyakinan. Kita mesti yakin dengan setiap ilmu yang diperolehi, yakin dengan melihat, yakin dengan benar dan yakin dengan sempurna.

Akhir sekali, saya ingin kongsikan tips untuk mencapai kejayaan.
1. Setiap hari fokus matlamat anda...
#Tulis 10 matlamat yang hendak dicapai dalam tempoh terdekat
#Baca matlamat setiap hari. Mulakan dengan ayat...Saya TELAH mencapai....
2. Komited dengan matlamat (tindakan)
3. Tukar kawan yang boleh mendorong kita berjaya
4. Tapis pemikiran
5. Bakar keinginan anda (semangat)
6. Sentiasa belajar
7. Tingkatkan tenaga anda
8. Is now or never?
9. Jangan hirau orang kutuk
10. Hadapi cabaran dengan strategi yang betul


#Saya berharap ilmu yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua untuk diamalkan bersama bagi memperolehi kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Marilah kita bersama-sama maju dalam perniagaan.

Entri 15- Rezeki Yang Tak Disangka

Teks: Nur Sa'adah Zahari
Foto: Nur Sa'adah Zahari

Assalamualaikum pembaca sekalian...agak lama rasanya saya tidak menulis. Alhamdulillah, syukur kepada ilahi dengan izinnya kami telah diberikan rezeki yang tidak disangka. Kami telah menerima tempahan baju kenduri untuk satu keluarga iaitu baju dress sebanyak 15 pasang. Kami diminta untuk menyiapkan kesemua tempahan baju dalam tempoh yang singkat. Selain itu, aku juga diminta untuk menyiapkan batang bantal dan tilam. Kesibukan menyiapkan tempahan ini menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk menulis blog.

Tempahan baju kenduri yang telah disiapkan 


Di sini saya ingin kongsikan bahawa untuk memperolehi rezeki kurniaan Allah kita seharusnya menjaga hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia. Subhanallah, sejak mengamalkan solat Dhuha sebelum memulakan perniagaan dan rajinkan diri bersedekah rezeki kami semakin melimpah -luah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah. Ayuhlah kita sama-sama dekatkan diri dengan-NYA.

Monday, August 24, 2015

Entri 14- Aku Anak Tukang Jahit

Teks: Nur Sa'adah Zahari
Foto: Nur Sa'adah Zahari

Sejak dari bangku sekolah lagi aku sering membantu ibuku menjahit baju. Terutamanya apabila tiba musim perayaan. Pengalaman menjahit banyak memberi manfaat kepada diriku. Aku dapat menjana pendapatan sendiri dan dapat mempelajari ilmu tentang jahitan dari ibuku.

Setiap kali tiba musim perayaan aku akan membantu ibuku menjahit sembat di bawah baju dan hujung tangan. Aku juga belajar cara-cara menjahit mata lalat di leher baju. Dari situ aku menjana pendapatanku dan dapat membeli barang yang diingini.

Sehinggalah sekarang, walaupun aku belajar jauh, apabila pulang ke rumah sudah menjadi kebiasaan untuk aku membantu ibuku dan mengambil upah menjahit. Bagi diriku tidak rugi untuk kita mempelajari pelbagai ilmu. Selain membantu ibuku menjahit aku juga pernah cuba membuat perniagaan secara online. Aku mempromosi baju rekaan ibuku di media sosial. Alhamdulillah, rezeki yang tidak disangka, perniagaan secara online ini agak mendapat sambutan terutamanya di kalangan rakan-rakanku. Begitu juga dengan rakan media yang lain.

Baju yang dijual secara online

Pengalaman ketika menjalani latihan industri di pusat pengajian turut memberi manfaat kepada diriku. Aku berjaya mempromosi hasil kerja ibuku kepada pensyarah. Aku memdapat tempahan baju daripada beberapa orang pensyarah dan maklum balas yang positif. Mereka amat berpuas hati dengan hasil kerja ibuku. Aku berasa amat gembira sekali. Harapanku pada suatu hari nanti aku dapat memenuhi impian ibuku untuk membuka sebuah butik bagi memajukan lagi perniagaan ini. InsyaAllah. Amin.


Sunday, August 23, 2015

Entri 13- Keajaiban Mudahnya Menjemput Rezeki

Teks: Nur Sa'adah Zahari
Foto: Nur Sa'adah Zahari

Setiap hari aku menjalani rutin harian seperti biasa. Setiap hari juga aku berharap akan memperolehi duit yang banyak. Tetapi harapan ku sia-sia. Keuntungan yang diperolehi hari-hari tidaklah seberapa, bukanlah tidak bersyukur tapi disebabkan kos sara hidup yang kian meningkat diriku terasa dibebani. Hendak berhutang lagi, hutang tersedia ada belum berbayar. “Ya Allah, betapa sedihnya hati ini mengharungi kehidupan seharian. Ujian apakah yang KAU berikan padaku.” Aku hanya tahu merintih kesedihan yang dialami.

Suatu hari aku berjalan-jalan di Pekan. Terdapat sebuah pesta buku sedang berlangsung. Tergerak hatiku untuk melihat sekelilingnya. Tiba- tiba aku terpandang sebuah buku Mudahnya Menjemput Rezeki. Aku membelek-belek buku itu, hatiku tertarik untuk memilikinya. Membaca tajuknya sudah membuatkan aku tertanya-tanya, apakah untuk mendapat rezeki sememangnya mudah? Bagaimana caranya? Tanpa berfikir panjang aku membeli buku tersebut dan ingin merungkai rahsia mudah untuk mendapat rezeki.

Alhamdulillah, aku tersedar rupa-rupanya masih banyak lagi perkara yang belum dilaksanakan iaitu tuntutan Allah. Banyak caranya untuk memperolahi rezeki yang diberkati Allah. Begitu mudah sekali untuk menjemput rezeki. Aku bertanya pada diriku, adakah aku lalai dalam mengutamakan solat? Bangunkah aku sepertiga malam untuk bertahajud? Pernahkah aku melakukan solat dhuha sebelum memulakan pekerjaan? Ringankah tanganku untuk bersedekah? Selalukah lidahku berzikir pada-NYA?


“Ya Allah, banyaknya kekurangan diriku, aku lalai dalam mengingtiMu, lalai dalam melaksanakan tuntutanMu, KAU ampunilah aku.” Akhirnya aku mulai sedar dan bertaubat pada-NYA. Aku ingin menjadi seorang yang istiqamah dalam melaksanakan tuntutan-NYA. Ya, aku ingin perolehi rezeki yang diberkatinya. Alhamdulillah, setelah melaksanakan apa yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, hidupku berubah menjadi lebih baik. Aku tidak lagi dibebani dengan masalah kewangan. Setiap hari rezeki yang ku perolehi mencukupi. Syukur Alhamdulillah, betapa mudahnya untuk memperolehi rezekiMu Ya Allah.

**untuk dapatkan Buku MMR, boleh buat belian melalui saya Nur Sa'adah 01129693087

Saturday, August 22, 2015

Entri 12- Resepi Ayam Ma’sala

Teks: Nur Sa'adah Zahari
Foto: Nur Sa'adah Zahari

Bahan-bahannya:
½ ekor ayam (dipotong)
3 sb serbuk kari
2 biji bawang besar
½” halia
3 ulas bawang putih
Kicap
Bunga lawang & kayu manis
Cili kecil
Minyak
Air
Garam
Air asam jawa @ asam keping

Cara-caranya:
1. Perapkan ayan bersama kicap dan serbuk kari.
2. Kisar bawang besar, halia dan bawang putih.
3. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar tadi bersama bunga lawang dan kayu manis. Kemudian masukkan ayam perapan ke dalam kuali.
4. Masukkan garam seckup rasa, cili kecil, air asam jawa @ asam keping. Biarkan ia mendidih dan agak kering kuahnya.
5. Siap untuk dihidang.



#Sekiranya ingin kuah, jangan masak terlalu kering.
#Boleh juga campur dengan ubi kentang atau keledek.

# Selamat mencuba.

Entri 11- Belailah Kalbu Moga Kesulitan Bukan Lagi Penghalang

Teks: Nur Sa'adah Zahari

Terlalu sukar untuk kita menjangka perjalanan hidup ini. Apa pun, biar pun dan bagaimana ia datang bagi kalbu yang sentiasa dibelai dengan keimanan pasti akan sentiasa tenang. Biarlah orng melihat itu sebagai petaka namun bagi hati yang tenang, ia tidaklah terlalu sakit untuk dikesalkan.

Sesungguhnya menjadi lumrah kehidupan, bukan semua yang dihajati akan tercapai. Sekiranya dapat kita semua akan menjadi takbur. Adakala sekuat mana pun kita berusaha, andai Dia tidak mengizinkan sesuatu itu tidak akan terjadi. Jika perlu menangis, menangislah...tetapi jangan terlalu lama kerana pintu kebahagiaan baru sentiasa terbuka untuk kita. InsyaAllah, yakinlah... ketentuan-NYA sentiasa sedia tersimpan sejak dahulu lagi. Kita hanyalah makluk penyempurna apa-apa yang telah ditentukannya.


“ Hidup ini ibarat pelangi. Tenangkanlah jiwa dengan ayat-ayat suci al-Quran, setiap cabaran yang dihadapi akan terasa kemanisan nikmatnya. ayuh, belailah kalbu dengan sujud kepada-NYA, moga Dia juga belai kita dengan rahmat-NYA. Marilah kita berusaha agar hati tidak mati, sekiranya hati mati maka tertutuplah pintu hati walaupun cukup senang, tetapi masih terasa deritanya...”

Entri 10- Senyumlah

Teks: Nur Sa'adah Zahari
Foto: Carian Google


Apa pun masalahmu ia pasti akan berlalu Senyumlah. Hidup akan menjadi lebih bahagia apabila masalah dan kesusahan dapat dilalui dengan cara yang betul. Kita tidak perlu berkeluh kesah, sedangkan apa pun masalah yang datang, ia akan berlalu jua akhirnya.
  • ·      Cara yang sangat efektif untuk menghadapi permasalahan dan mencapai sesuatu tujuan ialah dengan berusaha dan berdoa serta bersabar.
  • ·         Janganlah mengeluh sekiranya doa belum dimakbulkan kerana Allah Maha Mengetahui bentuk dan masa yang sesuai untuk memakbulkan doa kita.
  • ·         Berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kekayaan, kemuliaan dan kehormatan dalam hidup adalah perkara yang baik, tetapi jangan sampai semua itu melalaikan kita daripada meraih kemuliaan yang lebih besar dalam kehidupan yang berikutnya (akhirat).
  • ·         Akhirnya, jangan sesekali malas dan enggan dalam meminta kepada Allah, kerana Dia tidak pernah enggan untuk mendengar doa kita.


Wednesday, August 19, 2015

Entri 9- Oh, Mudahnya Cara Mengambil Ukuran Baju Kurung!

Teks: Nur Sa'adah Zahari
Foto: Nur Sa'adah Zahari

Assalamualaikum, 

Hari ini saya ingin kongsikan cara-cara mudah mengambil ukuran baju kurung untuk tatapan pembaca. Mesti ada di kalangan pembaca sekalian yang teringin nak buat baju kurung sendiri. Selain itu, pembaca sekalian boleh menjimatkan kos upah dan juga menjana pendapatan sampingan terutamanya di kalangan suri-suri rumah yang mempuyai masa terluang. Jom kita lihat cara-caranya. Terdapat dua contoh cara yang ingin dikongsikan. Contoh yang pertama ialah menggunakan lukisan baju. Manakala, contoh kedua ialah menggunakan kaedah bertulis.


Contoh 1:Menggunakan Lukisan Baju

Contoh 2: Menggunakan Kaedah Bertulis

Saya berharap apa dikongsikan dapat memberi manfaat kepada semua. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan yang kurang itu adalah kelemahan diri saya sendiri.





Monday, August 17, 2015

Entri 8- Resepi Daging Goreng Kunyit

Teks: Nur Sa’adah Zahari
Foto: Nur Sa’adah Zahari

Jom cuba masak untuk tengah hari ini.

Bahan-bahan:
½ kilo daging – dipotong
Bawang besar – dihiris bulat
Bawang putih – dihiris
Halia – dihiris
Cili kecil – diketuk
Cili Besar – dihiris sebagai hiasan
Garam
Serbuk kunyit
Minyak
Air asam jawa
Air

Cara- caranya:
1. Rebus daging terlebih dahulu supaya menjadi lembut untuk mudah dimakan dan masukkan serbuk kunyit.
2. Setelah air rebusan kering masukkan minyak, bawang besar, bawang putih, halia, cili kecil, air asam jawa dan garam seckup rasa
3. Goreng daging sehingga masak. Taburkan cili besar.
4. Sedia untuk dihidang. Selamat mencuba.

 

Entri 7- Si Merah Jambu

Teks: Nur Sa’adah Zahari
Foto: Nur Sa’adah Zahari

Inspirasi daripada buku Allah Tempat Meminta- Impian sejuta Jiwa

“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan, maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu.” ( surah Ali-Imran : 160 )

Alhamdulillah hari ini aku masih diberi peluang untuk hidup dimuka bumi ini melihat keindahan langit, gunung-ganang dan merasai setiap nikmat kurniaan Allah. Di pagi yang sejuk ini ingin ku kongsikan kisah hidupku. Semakin hari aku semakin tenang menghadapi setiap ujian Allah. Satu perkara yang aku belajar, rezeki itu sudah ada dan tidak perlu kita kejar. Apa yang penting kita mesti melaksanakan hak Allah itu dahulu dan berdoa supaya segalanya dipermudahkan. Subhanallah!

Terkenang akan kehidupaan harianku. Hari-hari mendatang setiap hari aku tidak pernah berhenti berdoa supaya kehidupan aku bertambah baik dan impianku untuk memiliki sebuah kereta tercapai. Tetapi berlaku sebaliknya. Aku seperti diberi ujian untuk dinilai sama ada aku seorang yang sabar atau tidak. Hatiku kuat atau tidak. Setiap malam, aku bangun bertahajjud dan solat hajat. Aku menangis dan merintih pada yang Maha Esa. Minta agar diberi petunjuk dan hidayah sebenar. Dalam masa yang sama masalah kewangan makin mengecewakan. Tetapi keyakinanku terhadap Allah, kuasa Allah makin tinggi.

Hanya yang ada hanyalah berdoa kepadaNya. “Ya Allah, Kau yang Maha Mengasihani dan memberi rezeki. Moga ada rezeki tersirat dan tersurat yang tak terjangkau dek fikiran hambaMu in, Ya Allah!”. Amin Ya Rabbal’alamin. Alhamdulillah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. Hampir setahun aku melaksanakan hak Allah, akhirnya aku dapat memiliki si Merah Jambu. Masya-Allah, inilah kemenangan yang besar. Untuk menikmati janji itu, Allah cuma mahu kita beriman kepadaNya dan RasulNya.



Berinspirasikan buku yang berjudul “Allah Tempat Meminta” – Impian sejuta jiwa yang merangkumi 40 kisah banyak memberi dorongan untuk aku terus berazam. Azam untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tuntutan Allah.

**untuk dapatkan Buku ATM, boleh buat belian melalui saya Nur Sa'adah 01129693087

Sunday, August 16, 2015

Entri 6- Resepi Ayam Bertiram Halia

Teks: Nur Sa’adah Zahari

Bahan:
½ ekor ayam – dipotong dan diperap bersama garam dan kunyit
1” halia – ditumbuk
2 ulas bawang putih – ditumbuk
1 biji bawang besar – ditumbuk
7 biji cili kecil – ditumbuk ( Nak pedas boleh tambah lagi )
Sos tiram
Air
Air asam jawa
Garam
Minyak

Cara-caranya:
1. Goreng terlebih dahulu ayam yang telah diperap, jangan terlalu garing. Angkat dan ketepikan.
2. Masukkan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan yang telaah ditumbuk tadi sehingga naik bau.
3. Masukkan sedikit air dan sos tiram, serta air asam jawa.
4. Masukkan garam secukup rasa. Biarkan sehingga mendidih.
5. Sedia untuk dihidang.

Entri 5- Pasti Mati

Teks: Nur Sa’adah Zahari
Foto: Carian Google

Kedengaran azan subuh mulai berkumandang, menyeru seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w supaya mengerjakan solat. Aku terjaga dari tidur dan mengeliat untuk merenggangkan otot-otot lalu bingkas bangun menuju bilik mandi.

Setelah usai mengerjakan kewajipan kepada yang Maha Esa aku duduk termenung di tikar sejadah. Tiba-tiba kedengaran telefon berbunyi mengejutkan aku dari lamunan. Panggilan tersebut disambut oleh kakakku. Rupa-rupanya dari ibuku yang berada di rumah bapa saudaraku kerana menjaga tok yang sedang tenat. Kami diberitahu keadaan tok yang agak kritikal dan mungkin akan pergi menyahut panggilan ilahi pada bila-bila masa sahaja.

Sayupnya hati ketika itu, aku hanya mampu berdoa agar dipermudahkan segala urusannya. Seandainya, tok ditakdirkan pergi biarlah beliau pergi dengan tenang. Pagi itu juga kami bergegas pergi ke rumah bapa saudaraku untuk melihat keadaan tok. Kelihatan semua keluarga terdekat datang mengelilingi tubuh kecil itu. Ayat-ayat suci al-quran dibaca. Tiba-tiba keadaan menjadi senyap hanya kalimah Lailahaillaallah kedengaran berbisik ditelinganya. Nyawa tok perlahan-lahan ditarik oleh malaikat Izrail. Pada 13 Ogos 2015 tepat jam 8.20 pagi, tok menghembus nafas terakhirnya dengan tenang. Ya Allah begitu tenang pemergiannya. Air mata mulai menitis mengiringi pemergiannya, namun kami tetap redha atas ketentuan ilahi dan berdoa semoga roh arwah ditempat di kalangan orang-orang yang soleh, serta ditempatkan di syurga. Sesungguhnya Allah lebih menyayanginya. Setiap yang hidup pasti akan mati.


Segala urusan pengebumian tok turut berjalan dengan mudah. Jam 2.30 petang, beliau telah selamat dikebumikan. Mendengarkan talkin dibaca 3 kali menyedarkan diriku, banyak lagi amalan yang perlu dilakukan sebagai persediaan dalam mengharungi liku-liku hidup didunia dan diakhirat. Al-Fatihah buat arwah tok, Zainab anak kepada Bedah. Aamiin. Semoga beliau tenang bersemadi disana.


Friday, August 14, 2015

Entri 4- Bagaimana usaha kita untuk mengendalikan takdir agar boleh bermanfaat terhadap kejayaan dunia perniagaan dan pekerjaan?

Teks: Nur Sa'adah Zahari

Solat Hajat mengajar kita untuk bersikap optimis terhadap hidup, tidak putus harapan dan mudah menyerah, memberi tumpuan sepenuhnya, fokus, jujur serta bertawakal. Disebabkan itu, usaha kita berhasil, kita tidak akan sombong kerana kita telah yakin bahawa Allah s.w.t. yang berada di sebalik kejayaan itu.  Antara usaha yang dapat kita lakukan untuk mengendalikan takdir supaya bermanfaat:

1. Kita harus mengubah paradigma ke arah lebih baik dan membina. Tidak akan ada perubahan dalam kehidupan jika kita tidak menggunakan daya usaha yang diberikan oleh Allah s.w.t.

2. Kita harus membiasakan diri untuk melakukan tindakan-tindakan progresif dalam hidup. Oleh itu, kita harus bekerja keras, bekerja cerdas, belajar serta pantang menyerah agar kebiasaan dapat mengubah hidup menjadi lebih baik.

3. Kita harus mengaplikasikan pengetahuan dalam perbuatan. Pola pemikiran yang bagus, positif, maju dan mahu berusaha akan menjadi sia-sia jika tidak sertai kemahuan.

4. Kita harus sedia mencapai kejayaan. Apa yang diperlukan ialah keberanian dalam menhadapi risiko, tegas, tekun dan pantang menyerah agar impian dapat dicapai.

Wednesday, August 12, 2015

Entri 3- Cara Menjahit Rumah Butang

Teks: Nur Sa'adah Zahari
Foto: Nur Sa'adah Zahari



Cara-caranya :

1. Sediakan benang, gunting dan jarum. Masukkan benang ke dalam jarum dan matikan di hujung benang. Benang hendaklah dilipat dua, kemudian dimasukkan ke dalam jarum supaya menjadi empat benang.

2. Cucuk jarum di bucu leher baju kurung untuk masukkan benang.

3 & 4. Kemudian sekali lagi, cucuk jarum mengikut saiz butang disebelah bawah leher baju.

5. Lingkungan lubang akan terhasil.

6. Lilitkan benang ke kiri dan masukkan jarum ke dalam lubang tadi, kemudian tarik benang tersebut.

7. Lilitkan benang ke kanan pula dan masukkan jarum ke dalam lubang, kemudian tarik tersebut.

8 & 9. Ulangi cara 6 dan 7 sehingga siap.

10. Akhirnya, rumah butang terhasil. Selamat mencuba.


#Semoga ilmu yang dikongsi bermanfaat kepada semua.

Tuesday, August 11, 2015

Entri 2- Bersyukur Saat Diuji


Teks: Nur Sa’adah Zahari
Foto: Carian Google


Apakah sebenarnya yang dikatakan ujian buat manusia? Apakah setiap manusia mempunyai kekuatan untuk menghadapi ujian? Apakah kemudahan yang bakal diperolehi disebalik kesusahan dan kesulitan?

Sepanjang tempoh kehidupan adalah ujian Allah. Jika kita sering mengingati dan beramal ibadat kepadaNya, insyaAllah kita akan lulus ujian tersebut. Sabar, Solat, Syukur merupakan kunci yang perlu dimilik oleh setiap individu dalam menghapi ujian kehidupan.

Hakikatnya, kematian ujian terakhir setelah menghadapi suka dan duka ketika masih bernyawa. Oleh itu, sama ada kita gagal atau lulus, mampu atau tidak menghadapi ujian kehidupan terkandung melalui kenyataan Allah. (Surah Al- Israa' 17: 18-19)


Entri 1- Ganjaran Disebalik Kesulitan

Teks: Nur Sa’adah Zahari
Foto: Carian Google


Sesungguhnya disebalik kesulitan yang sering kita hadapi menyimpan banyak ganjaran. Antaranya, memupuk kekuatan hati diri, penghapus segala dosa-dosa, melebur sifat ujub (bangga diri) dan mengubur rasa takbur (besar diri).

Kita sedia maklum bahawa setiap kesulitan yang dihadapi oleh seseorang itu besar ganjarannya kerana kesulitan dapat menghindari diri daripada sifat kelalaian, membanyakkan zikir, giat berbuat kebajikan, khusyuk berdoa, terjaga hati dangan banyak bersabar, sentiasa bersiap sedia menghadap Tuhan, membebas diri daripada godaan dunia dan sentiasa berasa tenang.


Nota buat diriku: Disebalik setiap kesulitan yang aku hadapi, di sana ada banyak hikmah yang tersembunyi.

Friday, August 7, 2015

Salam Perkenalan

Teks: Nur Sa’adah Zahari
Foto: Carian Google


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Segala puji dan puja hanya bagiNYA. Maha SuciNYA daripada sifat lemah dan kurang. Ya Allah Kau permudahkan urusan hambaMu ini, jangan Kau susahkan. Disini saya mulakan dengan pengenalan dan perihal diri, nama saya Nur Sa'adah Binti Zahari. Dilahirkan di Hospital Baling, Kedah pada 23 Oktober 1991. Anak kedua daripada lima beradik. Menetap di Baling, Kedah pada masa kini. Mendapat pengajian awal di Sekolah Kebagsaan Pulai. Ditawarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Abu Bakar, Kupang untuk menamatkan SPM dengan memperolehi keputusan yang baik. Menyambung pengajian di Matrikulasi Kedah, Changlun selama 2 tahun. Akhirnya berjaya menjejaki kaki ke Universiti Sains Malaysia dalam bidang Sains Komputer. Alhamdulillah, dengan izin Allah saya bakal menerima segulung ijazah pada bulan November ini.

Saya sempat menimba pengalaman bekerja sebagai seorang penyelidik di Bahagian Jaringan & Industri Masyarakat (BJIM) di Pusat Pengajian Sains Komputer, USM semasa menjalani latihan industri selama 6 bulan. Manakala, setiap kali tiba musim perayaan saya akan menolong ibu menyiapkan tempahan baju raya. Di sini bermulanya saya ingin berjinak dalam dunia bisnes. Saya mempromosikan baju secara online di media sosial dan juga kepada pensyarah. Alhamdulillah dapat komen yang baik daripada rakan dan pensyarah. Dari komen dan kata-kata semangat ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk mempunyai produk yang boleh diniagakan.

Alhamdulillah, sekali lagi dipanjatkan setinggi-tinggi syukur kepadaNYA kerana telah membuka pintu hati ini untuk menyertai Akademi Bekerja Dari Rumah untuk mencari ilmu tentang perniagaan, pemasaran dan ilmu-ilmu lain untuk lebih fokus pada perniagaan secara online. Semoga penyertaan saya dalam keluarga besar ABDR menjadi titik permulaan bagi saya lebih maju di masa akan datang. Semoga tunjuk ajar guru saya menjadi pembakar semangat kepada saya untuk menjadi lebih positif. Saya akhiri nukilan saya dengan Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.