Sunday, August 16, 2015

Entri 5- Pasti Mati

Teks: Nur Sa’adah Zahari
Foto: Carian Google

Kedengaran azan subuh mulai berkumandang, menyeru seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w supaya mengerjakan solat. Aku terjaga dari tidur dan mengeliat untuk merenggangkan otot-otot lalu bingkas bangun menuju bilik mandi.

Setelah usai mengerjakan kewajipan kepada yang Maha Esa aku duduk termenung di tikar sejadah. Tiba-tiba kedengaran telefon berbunyi mengejutkan aku dari lamunan. Panggilan tersebut disambut oleh kakakku. Rupa-rupanya dari ibuku yang berada di rumah bapa saudaraku kerana menjaga tok yang sedang tenat. Kami diberitahu keadaan tok yang agak kritikal dan mungkin akan pergi menyahut panggilan ilahi pada bila-bila masa sahaja.

Sayupnya hati ketika itu, aku hanya mampu berdoa agar dipermudahkan segala urusannya. Seandainya, tok ditakdirkan pergi biarlah beliau pergi dengan tenang. Pagi itu juga kami bergegas pergi ke rumah bapa saudaraku untuk melihat keadaan tok. Kelihatan semua keluarga terdekat datang mengelilingi tubuh kecil itu. Ayat-ayat suci al-quran dibaca. Tiba-tiba keadaan menjadi senyap hanya kalimah Lailahaillaallah kedengaran berbisik ditelinganya. Nyawa tok perlahan-lahan ditarik oleh malaikat Izrail. Pada 13 Ogos 2015 tepat jam 8.20 pagi, tok menghembus nafas terakhirnya dengan tenang. Ya Allah begitu tenang pemergiannya. Air mata mulai menitis mengiringi pemergiannya, namun kami tetap redha atas ketentuan ilahi dan berdoa semoga roh arwah ditempat di kalangan orang-orang yang soleh, serta ditempatkan di syurga. Sesungguhnya Allah lebih menyayanginya. Setiap yang hidup pasti akan mati.


Segala urusan pengebumian tok turut berjalan dengan mudah. Jam 2.30 petang, beliau telah selamat dikebumikan. Mendengarkan talkin dibaca 3 kali menyedarkan diriku, banyak lagi amalan yang perlu dilakukan sebagai persediaan dalam mengharungi liku-liku hidup didunia dan diakhirat. Al-Fatihah buat arwah tok, Zainab anak kepada Bedah. Aamiin. Semoga beliau tenang bersemadi disana.


No comments:

Post a Comment